Merujuk kepada perkara diatas, saya ingin meminta pihak-pihak yang berkenaan supaya membuka mata dan mengambil berat mengenai masalah yang menimpa kami para graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pergajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua). Sudah 6 tahun kami menghabiskan masa dan kudrat kami di Institut Pendidikan Guru(IPG) dan Universiti demi mendapatkan segulung ijazah dan Alhamdulillah, pada pertengahan tahun 2011, kami telah berjaya menamatkan pergajian kami dan mendapat segulung ijazah yang kami idam-idamkan.
Kami ditawarkan biasiswa oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengambil ijazah TESL di dalam program berkembar di antara pihak IPG dan Universiti. Tapi malangnya, setelah menunggu selama lebih kurang 6 bulan, kami masih belum mengetahu status mengenai penempatan kami. Kami yang berjumlah tidak sampai 500 orang masih belum dimaklumkan dimana dan bilakah kami perlu melaporkan diri. Mengapa kami diperlakukan sebegini rupa sedangkan kami dijanjikan penempatan sepertimana yang termaktub di dalam perjanjian yang telah kami tanda tangani 6 tahun yang lalu.
Pihak yang berkenaan mencanang-canangkan bahawa Malaysia kekurangan guru Bahasa Inggeris. Setakat yang kami tahu, pada ijazah kami tentera dengan terang dan jelas pengkhususan kami iaitu Pergajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Inggeris dan oleh sebab itu, kami sangat yakin kami mampu untuk mengisi kekosongan di sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh Malaysia. Dan setakat yang kami tahu, Malaysia memang kekurangan guru Bahasa Inggeris.
Kami telah cuba untuk mengajukan soalan mengenai penempatan kami kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), tapi setiap kali kami menghantar email kepada pihak KPM, jawapan yang diberikan cukup mudah, "Tiada sebarang tarikh ditetapkan". Berapa lama lagi kami harus menunggu untuk mengetahui tarikh yang ditetapkan? Sudah 6 bulan kami menunggu. Bukannya sehari, seminggu atau sebulan, tapi sudah 6 bulan kami menunggu panggilan daripada pihak Pejabat Pendidikan Daerah yang meminta kami untuk melaporkan diri, tapi malangnya penantian kami sia-sia belaka. Kami tetap dibiarkan ternanti-nanti.
Dengan terlaksana program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris(MBMMBI), kami berharap dapat sama-sama membantu kerajaan untuk memastikan program ini dapat mencapai matlamatnya. Tan Sri Muhyiddin Yassin juga melaporkan kerajaan telah bersetuju untuk membawa masuk 300 guru pakar Bahasa Inggeris ke Malaysia untuk menjadi pemerhati di sekolah-sekolah. Sekiranya kerajaan mempunyai peruntukkan yang besar untuk membawa masuk 300 guru pakar Bahasa Inggeris yang menelan belanja lebih kurang RM18 Juta, mengapa kami yang berjumlah tidak lebih dari 500 orang ini tidak ditempatkan terlebih dahulu ke sekolah-sekolah yang dikatakan kekurangan guru Bahasa Inggeris? Kami yakin sekiranya kami ditempatkan secepat mungkin, tiada masalah untuk kami memberikan komitmen kepada urusan pembelajaran dan pengajaran di sekolah.
Tidak lama dahulu, Datuk Dr Wee Ka Siong iaitu Timbalan Menteri Pendidikan mengeluarkan penyataan supaya bakal guru supaya bersabar. Datuk, bukannya kami tidak bersabar, tapi sudah 6 bulan kami bersabar Datuk. Berapa lama lagi kami harus bersabar? Sudah 6 tahun kami bersabar Datuk untuk menamatkan pergajian kami. Malah kami turut bersabar dengan pihak IPG yang kebiasaannya lewat membuat pembayaran elaun kami serta bersabar dengan pihak Universiti yang menuntut bayaran yang tidak sepatutnya dikenakan. Kini, sudah 6 bulan kami menunggu untuk ditempatkan dan sekarang Datuk meminta supaya kami bersabar lagi? Walaupun sebagai seorang Islam saya tahu bahawa sabar itu separuh daripada iman, tapi kesabaran seseorang individu itu ada batasnya Datuk. Apa salah dan dosa kami sehingga diperlakukan sebegini rupa? Berapa lama lagi kami harus menunggu?
Beberapa hari yang lepas, Datuk Dr Puad Zarkashi mengeluarkan penyataan yang meminta supaya 5000 pelajar ISMP daripada IPTA supaya tidak menyangka mereka dianaktirikan oleh pihak KPM. Sekiranya mereka yang mengambil ijazah di IPTA berasa mereka dianaktirikan, bagaimana pula dengan kami Datuk? Kami ditemuduga oleh pihak KPM kemudian diberi biasiswa untuk mengambil ijazah di dalam bidang pendidikan. Bukannya khusus yang kami ambil ini baru diperkenalkan, tapi sudah bertahun-tahun diperkenalkan. Kami berharap pihak yang berkenaan iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia dapat mengambil langkah yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah kami.
Sekiranya pihak Kementerian dapat menyerapkan ribuan KPLI, 13000 GSST dan menempatkan 5000 pelajar ISMP ke sekolah, mengapa kami pelajar TESL yang ditanggung untuk belajar oleh pihak Kementerian tidak dapat diserapkan? Kami berjumlah lebih kurang 500 orang sahaja. Mengapa proses untuk menempatkan bakal guru yang berjumlah 500 orang ini mengambil masa yang begitu lama? Sekiranya sebulan, kami boleh bertolak ansur. Tapi sekarang, sudah hampir 6 bulan kami menganggur. Kursus yang ditawarkan pada kami bukanlah kursus yang baru, tapi sudah bertahun-tahun ditawarkan oleh Pihak Kementerian. Sekiranya benar Malaysia kekurangan guru Bahasa Inggeris, mengapa kami tidak ditempatkan sebaik sahaja kami tamat pelajaran? Tapi sebaliknya, kami dibiarkan menganggur selama 6 bulan atau mungkin lebih.
Bukannya kami tidak cuba mencari pekerjaan lain, tapi kami terikat dengan kontrak yang sudah dijanjikan pada kami pada 6 tahun yang lepas. Malah, apabila dimaklumkan bahawa kami sedang menunggu untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah seluruh Malaysia, pihak Majikan terus menolak permohonan kami untuk berkerja di syarikat mereka. Cuba letakkan situasi kami di tempat anda dan rasakan sendiri berapa peritnya hidup menunggu sesuatu yang tidak pasti. Kasihanilah kami. Kami layak untuk ditempatkan di sekolah dan mengajar anak bangsa kami sendiri.
Apa lagi yang perlu kami lakukan supaya kami dapat mengetahui mengenai penempatan kami? Kami sudah pun mengikuti Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) dan telah pun melalui Temuduga Pelantikan ke Jawatan Tetap Pegawai Pendidikan Siswazah(SPP), tapi sehingga kini, status kami masih menjadi tanda tanya. Kami amat berharap dan merayu supaya pihak yang berkenaan supaya dapat membuka mata dan cuba untuk menyelesaikan masalah penempatan kami secepat mungkin. Kami berharap kami akan ditempatkan ke sekolah-sekolah seluruh Malaysia secepat mungkin dan perkara yang sama tidak berlaku kepada adik-adik kami yang sedang mengikuti program TESL di IPG dan Universiti baik dalam dan ataupun luar negara.
by Azreil Shazwan on Thursday, December 8, 2011 at 3:11am, FACEBOOK!
No comments:
Post a Comment