Pages

Friday, December 30, 2011

Can be trusted??

Tuesday, December 20, 2011

Graduan Tesl

Thursday, December 8, 2011

Masalah penempatan bakal guru program tajaan Kementerian Pelajaran.

Merujuk kepada perkara diatas, saya ingin meminta pihak-pihak yang berkenaan supaya membuka mata dan mengambil berat mengenai masalah yang menimpa kami para graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pergajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua). Sudah 6 tahun kami menghabiskan masa dan kudrat kami di Institut Pendidikan Guru(IPG) dan Universiti demi mendapatkan segulung ijazah dan Alhamdulillah, pada pertengahan tahun 2011, kami telah berjaya menamatkan pergajian kami dan mendapat segulung ijazah yang kami idam-idamkan.

Kami ditawarkan biasiswa oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengambil ijazah TESL di dalam program berkembar di antara pihak IPG dan Universiti. Tapi malangnya, setelah menunggu selama lebih kurang 6 bulan, kami masih belum mengetahu status mengenai penempatan kami. Kami yang berjumlah tidak sampai 500 orang masih belum dimaklumkan dimana dan bilakah kami perlu melaporkan diri. Mengapa kami diperlakukan sebegini rupa sedangkan kami dijanjikan penempatan sepertimana yang termaktub di dalam perjanjian yang telah kami tanda tangani 6 tahun yang lalu.

Pihak yang berkenaan mencanang-canangkan bahawa Malaysia kekurangan guru Bahasa Inggeris. Setakat yang kami tahu, pada ijazah kami tentera dengan terang dan jelas pengkhususan kami iaitu Pergajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Inggeris dan oleh sebab itu, kami sangat yakin kami mampu untuk mengisi kekosongan di sekolah rendah dan sekolah menengah seluruh Malaysia. Dan setakat yang kami tahu, Malaysia memang kekurangan guru Bahasa Inggeris.

Kami telah cuba untuk mengajukan soalan mengenai penempatan kami kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), tapi setiap kali kami menghantar email kepada pihak KPM, jawapan yang diberikan cukup mudah, "Tiada sebarang tarikh ditetapkan". Berapa lama lagi kami harus menunggu untuk mengetahui tarikh yang ditetapkan? Sudah 6 bulan kami menunggu. Bukannya sehari, seminggu atau sebulan, tapi sudah 6 bulan kami menunggu panggilan daripada pihak Pejabat Pendidikan Daerah yang meminta kami untuk melaporkan diri, tapi malangnya penantian kami sia-sia belaka. Kami tetap dibiarkan ternanti-nanti.

Dengan terlaksana program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris(MBMMBI), kami berharap dapat sama-sama membantu kerajaan untuk memastikan program ini dapat mencapai matlamatnya. Tan Sri Muhyiddin Yassin juga melaporkan kerajaan telah bersetuju untuk membawa masuk 300 guru pakar Bahasa Inggeris ke Malaysia untuk menjadi pemerhati di sekolah-sekolah. Sekiranya kerajaan mempunyai peruntukkan yang besar untuk membawa masuk 300 guru pakar Bahasa Inggeris yang menelan belanja lebih kurang RM18 Juta, mengapa kami yang berjumlah tidak lebih dari 500 orang ini tidak ditempatkan terlebih dahulu ke sekolah-sekolah yang dikatakan kekurangan guru Bahasa Inggeris? Kami yakin sekiranya kami ditempatkan secepat mungkin, tiada masalah untuk kami memberikan komitmen kepada urusan pembelajaran dan pengajaran di sekolah.

Tidak lama dahulu, Datuk Dr Wee Ka Siong iaitu Timbalan Menteri Pendidikan mengeluarkan penyataan supaya bakal guru supaya bersabar. Datuk, bukannya kami tidak bersabar, tapi sudah 6 bulan kami bersabar Datuk. Berapa lama lagi kami harus bersabar? Sudah 6 tahun kami bersabar Datuk untuk menamatkan pergajian kami. Malah kami turut bersabar dengan pihak IPG yang kebiasaannya lewat membuat pembayaran elaun kami serta bersabar dengan pihak Universiti yang menuntut bayaran yang tidak sepatutnya dikenakan. Kini, sudah 6 bulan kami menunggu untuk ditempatkan dan sekarang Datuk meminta supaya kami bersabar lagi? Walaupun sebagai seorang Islam saya tahu bahawa sabar itu separuh daripada iman, tapi kesabaran seseorang individu itu ada batasnya Datuk. Apa salah dan dosa kami sehingga diperlakukan sebegini rupa? Berapa lama lagi kami harus menunggu?

Beberapa hari yang lepas, Datuk Dr Puad Zarkashi mengeluarkan penyataan yang meminta supaya 5000 pelajar ISMP daripada IPTA supaya tidak menyangka mereka dianaktirikan oleh pihak KPM. Sekiranya mereka yang mengambil ijazah di IPTA berasa mereka dianaktirikan, bagaimana pula dengan kami Datuk? Kami ditemuduga oleh pihak KPM kemudian diberi biasiswa untuk mengambil ijazah di dalam bidang pendidikan. Bukannya khusus yang kami ambil ini baru diperkenalkan, tapi sudah bertahun-tahun diperkenalkan. Kami berharap pihak yang berkenaan iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia dapat mengambil langkah yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah kami.

Sekiranya pihak Kementerian dapat menyerapkan ribuan KPLI, 13000 GSST dan menempatkan 5000 pelajar ISMP ke sekolah, mengapa kami pelajar TESL yang ditanggung untuk belajar oleh pihak Kementerian tidak dapat diserapkan? Kami berjumlah lebih kurang 500 orang sahaja. Mengapa proses untuk menempatkan bakal guru yang berjumlah 500 orang ini mengambil masa yang begitu lama? Sekiranya sebulan, kami boleh bertolak ansur. Tapi sekarang, sudah hampir 6 bulan kami menganggur. Kursus yang ditawarkan pada kami bukanlah kursus yang baru, tapi sudah bertahun-tahun ditawarkan oleh Pihak Kementerian. Sekiranya benar Malaysia kekurangan guru Bahasa Inggeris, mengapa kami tidak ditempatkan sebaik sahaja kami tamat pelajaran? Tapi sebaliknya, kami dibiarkan menganggur selama 6 bulan atau mungkin lebih.

Bukannya kami tidak cuba mencari pekerjaan lain, tapi kami terikat dengan kontrak yang sudah dijanjikan pada kami pada 6 tahun yang lepas. Malah, apabila dimaklumkan bahawa kami sedang menunggu untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah seluruh Malaysia, pihak Majikan terus menolak permohonan kami untuk berkerja di syarikat mereka. Cuba letakkan situasi kami di tempat anda dan rasakan sendiri berapa peritnya hidup menunggu sesuatu yang tidak pasti. Kasihanilah kami. Kami layak untuk ditempatkan di sekolah dan mengajar anak bangsa kami sendiri.

Apa lagi yang perlu kami lakukan supaya kami dapat mengetahui mengenai penempatan kami? Kami sudah pun mengikuti Kursus Induksi Sistem Saraan Malaysia (KISSM) dan telah pun melalui Temuduga Pelantikan ke Jawatan Tetap Pegawai Pendidikan Siswazah(SPP), tapi sehingga kini, status kami masih menjadi tanda tanya. Kami amat berharap dan merayu supaya pihak yang berkenaan supaya dapat membuka mata dan cuba untuk menyelesaikan masalah penempatan kami secepat mungkin. Kami berharap kami akan ditempatkan ke sekolah-sekolah seluruh Malaysia secepat mungkin dan perkara yang sama tidak berlaku kepada adik-adik kami yang sedang mengikuti program TESL di IPG dan Universiti baik dalam dan ataupun luar negara.

by Azreil Shazwan on Thursday, December 8, 2011 at 3:11am, FACEBOOK!

Putar belit Puad Zarkashi

Kenyataan akhbar oleh Puad Zarkashi ini hanya menyerlahkan sikap tidak mengambil tahu tentang hal ehwal kementeriannya. Walaupun masyarakat sedia maklum menteri suka buat kenyataan putar belit, masih, masyarakat mengamalkan konsep baca dan percaya. Lebih teruk ada yang hanya membaca tajuk dan terus berkata-kata.

5000 lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) itu merujuk kepada guru sandaran terlatih yang telah dilantik ke gred DC41 untuk pengesahan jawatan DG41. Hebat Puad Zarkashi.

Mempermainkan masyarakat dengan maksud harfiah. Jangankan guru DC41, memang pun semua guru lepasan universiti digelar graduan ISMP. Kenyataan ini tidak merujuk kepasa fresh graduates yang berhadapan dengan kelewatan posting.

Selain itu, Puad Zarkashi turut membandingkan graduan pendidikan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak melalui proses temu duga sepertimana pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG, atau lebih dikenali dengan panggilan maktab).

Sebenarnya, bermula tahun 2007, mereka yang memohon kos pendidikan di universiti perlu menjalani ujian sahsiah diri dan temu duga. Mereka yang melepasi dua kali saringan ini sahaja yang menjalani kos pendidikan.

Dari bulan ke bulan kami diperbodohkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Hingga sekarang borang online masih tidak ada bayangnya. KPM hanya menjawab sila semak laman web KPM dari semasa ke semasa hinggalah timbul pula khabar sebenarnya Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang menguruskan posting guru.

Ada pula pegawai-pegawai KPM dan SPP yang mengatakan bahawa kini tidak lagi perlu mengisi borang online, nanti kami akan terus dipanggil temu duga. Semuanya hebat berkata-kata, namun tiada hitam putihnya.

Kini setelah tujuh bulan berlalu, tiada menteri yang memberi kata putus bilakah sebenarnya kami akan dipostingkan. Tahun 2012 kah? 2022 kah? 2032 kah? Semuanya membisu. Bulan ini buat kenyataan hentam keromo, bulan depan cover semula kebodohan mereka dengan kenyataan lainnya.

Kami, graduan pendidikan. Empat tahun di universiti mempelajari ilmu pedagogi, falsafah, sosiologi, psikologi pendidikan. Dua minggu menjalani Rancangan Orientasi Sekolah dan 14 minggu menjalani praktikum di sekolah.

Kini, setelah memperbodohkan kami dengan khabar posting selama setengah tahun, mereka menyuruh kami mencari kerja lain. Rata-rata majikan menolak permohonan kerja graduan pendidikan dalam industri atas sebab ijazah kami yang tertera Pendidikan.

Nurul Nabisah Mohamad
4:19PM Dis 7, 2011
http://www.malaysiakini.com

Wednesday, December 7, 2011

Minda Pengarang: Graduan ISMP terpilih jadi guru mesti beri komitmen, tak banyak kerenah

2011/12/07

KEMELUT kira-kira 5,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) lepasan institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang mendakwa digantung tidak bertali oleh Kementerian Pelajaran sudah terlerai. Kelmarin, mahasiswa ISMP lepasan IPTA yang sebelum ini mendakwa dianaktirikan kementerian kerana lebih mengutamakan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) untuk diserap sebagai guru tetap, mendapat jaminan daripada Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi sendiri, mereka akan ditempatkan di sekolah menengah seluruh negara mulai Januari ini.

Komitmen kerajaan dalam isu ini amat dihargai kerana ia jelas menunjukkan kerajaan mahu mengatasi masalah pengangguran graduan ISMP, sekali gus memberi petanda jelas kerajaan tidak mengabaikan nasib graduan terbabit, sebaliknya berusaha membantu mereka mendapatkan pekerjaan setaraf dengan kelulusan mereka. Perkembangan ini juga jelas menunjukkan kerajaan benar-benar serius untuk memberikan tumpuan kepada pembangunan modal insan bagi melahirkan generasi masa depan yang cemerlang dengan mengambil graduan ISMP menjadi tenaga pengajar di sekolah menengah, sekali gus membantu kerajaan memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Kita juga menghargai kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi menerusi penubuhan jawatankuasa bersama bagi menyelesaikan pelbagai masalah tertangguh yang dihadapi graduan ISMP, terutama dalam soal penempatan sekolah mengajar. Kita berharap Kementerian Pelajaran dapat menggunakan peruntukan RM50.2 bilion untuk sektor pendidikan melalui Bajet 2012 lalu bagi menyelesaikan isu berkaitan guru, termasuk soal penempatan guru yang membabitkan lepasan IPTA. Bagi graduan terpilih, mereka seharusnya bersyukur dengan tidak pula menimbulkan pelbagai kerenah kepada kementerian apabila dihantar bertugas di sekolah luar bandar, kawasan hulu atau pedalaman.

Keprihatinan kerajaan mengenai nasib mereka perlu diberikan balasan sewajarnya dengan memberikan komitmen penuh mendidik anak bangsa supaya menjadi pelajar cemerlang. Pada masa sama, kita berharap GSTT yang ada dan belum diserap sebagai guru tetap tidak bimbang dengan masa depan mereka kerana peluang diberikan kepada mahasiswa ISMP hanya untuk mengisi kekosongan guru di sekolah menengah. Apapun keputusan yang dibuat kerajaan, baik membabitkan lepasan ISMP, institut perguruan dan GSTT, ia hanya bermatlamatkan mahu memenuhi aspirasi Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Tuesday, December 6, 2011

5,000 guru dilantik

BATU PAHAT - Kira-kira 5,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan akan dilantik sebagai guru di sekolah menengah mulai Januari tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, daripada jumlah itu, seramai 3,894 graduan ISMP telah pun ditemu duga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bagi tujuan berkenaan.

Beliau berkata, jumlah pengambilan tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 4,318 orang dilantik sebagai guru tahun ini.

"Justeru saya menafikan graduan ISMP dianaktirikan dalam pemilihan guru kerana ia dibuat berdasarkan kelayakan dan opsyen bersesuaian,'' katanya.

Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Saturday, December 3, 2011

‘Sabarlah bakal cikgu’

RAWANG: Kementerian Pelajaran Malaysia meminta graduan perguruan supaya menunggu proses pengambilan dan penempatan ke sekolah memandangkan urusan temu duga yang dijalankan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) baru bermula pada 21 November lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, dengan jumlah permohonan melebihi 7,000 orang, tempoh pemilihan mengambil sedikit masa kerana SPP perlu menjalankan proses temu duga dengan teliti bagi mendapatkan calon paling sesuai untuk menjadi seorang guru berkualiti.


Menurutnya, 10 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini menghantar permohonan kepada pihaknya untuk ditawarkan jawatan tetap guru siswazah gred DG41.

“Kementerian tidak boleh menyerap graduan ini terus ke sekolah tanpa melalui proses penapisan berkesan, sebab itu mereka semua perlu bersabar dan jangan fikir kami tidak mengambil tindakan pengambilan guru baru.


“Setakat ini, SPP memanggil calon menghadiri ujian temu duga dan kami tidak mahu ada graduan beranggapan kami menganaktirikan mereka kerana terlalu memberi fokus kepada guru sandaran tidak terlatih (GSTT),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Formula One (F1) In School Technology Peringkat Kebangsaan 2011, di sini, semalam.


Beliau berkata, sehingga minggu lalu, SPP menerima 4,900 permohonan dan ada yang dipanggil proses temu duga manakala Kementerian masih menunggu dua IPTA menyerahkan borang permohonan mereka.

Pada majlis itu, Dr Wee menyampaikan hadiah kepada pasukan F1 yang memenangi 15 kategori dan keseluruhan termasuk juara pertandingan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free, Pulau Pinang yang turut menggondol anugerah ‘Best Research and Development’ dan ‘Best Engineer Car’.


Pertandingan empat hari itu bertujuan mencetus minat pelajar terhadap aktiviti kokurikulum dalam bidang reka bentuk kejuruteraan serta melahirkan pelajar yang mempunyai ciri asas generasi sebuah negara maju.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian KPM, Muhamed Roli Hassan dan Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Datuk Khairil Awang.

Source:Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my