Pages

Saturday, December 3, 2011

‘Sabarlah bakal cikgu’

RAWANG: Kementerian Pelajaran Malaysia meminta graduan perguruan supaya menunggu proses pengambilan dan penempatan ke sekolah memandangkan urusan temu duga yang dijalankan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) baru bermula pada 21 November lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, dengan jumlah permohonan melebihi 7,000 orang, tempoh pemilihan mengambil sedikit masa kerana SPP perlu menjalankan proses temu duga dengan teliti bagi mendapatkan calon paling sesuai untuk menjadi seorang guru berkualiti.


Menurutnya, 10 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini menghantar permohonan kepada pihaknya untuk ditawarkan jawatan tetap guru siswazah gred DG41.

“Kementerian tidak boleh menyerap graduan ini terus ke sekolah tanpa melalui proses penapisan berkesan, sebab itu mereka semua perlu bersabar dan jangan fikir kami tidak mengambil tindakan pengambilan guru baru.


“Setakat ini, SPP memanggil calon menghadiri ujian temu duga dan kami tidak mahu ada graduan beranggapan kami menganaktirikan mereka kerana terlalu memberi fokus kepada guru sandaran tidak terlatih (GSTT),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Formula One (F1) In School Technology Peringkat Kebangsaan 2011, di sini, semalam.


Beliau berkata, sehingga minggu lalu, SPP menerima 4,900 permohonan dan ada yang dipanggil proses temu duga manakala Kementerian masih menunggu dua IPTA menyerahkan borang permohonan mereka.

Pada majlis itu, Dr Wee menyampaikan hadiah kepada pasukan F1 yang memenangi 15 kategori dan keseluruhan termasuk juara pertandingan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free, Pulau Pinang yang turut menggondol anugerah ‘Best Research and Development’ dan ‘Best Engineer Car’.


Pertandingan empat hari itu bertujuan mencetus minat pelajar terhadap aktiviti kokurikulum dalam bidang reka bentuk kejuruteraan serta melahirkan pelajar yang mempunyai ciri asas generasi sebuah negara maju.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian KPM, Muhamed Roli Hassan dan Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Datuk Khairil Awang.

Source:Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

1 comment: